Monday, 21 August 2017

Bebas Berterbangan..

                                          


21 Ogos 2017  perlahan-lahan matahari muncul di atas horizon timur. Mewarnai langit dengan rona kemerahan bersulam jingga dan perlahan-lahan kota kecil ini dibiasi dengan cahaya terang. Oh, pagi Isnin yang Indah! 


     Kedengaran juga kicauan burung yang singgah menyapa menghiburkan suasana. Aku memerhati dari tingkat 7 di bibir jendela. Nampaknya riang sekali mereka bersiulan bergurau mesra. Kita yang melihat, turut terulit bahagia! oh, nyamannya rasa!. ^^ 


     Melihatkan burung-burung itu, hati dipalit rasa sayu dan rindu.  Alangkah indahnya jika dapat berterbangan bebas begitu. Boleh menyeberangi sungai-sungai yang indah, dapat melintasi bukit bukau dan gunung ganang yang menghijau.  Jika serabut dengan kekalutan kota.. nah!  boleh sahaja mengibarkan sayap terus sampai ke pulau perhentian mahupun ke puncak gunung tahan sana.


     Mungkin itulah agaknya keindahan yang diperolehi dan dinikmati oleh para Syuhada, para penghuni syurga yang dibawa berterbangan bebas di dalam perut burung berwarna hijau. Dikatakan di bawahnya pula terdapat sungai-sungai yang mengalir dengan indahnya. Sambil meronda juga boleh pula memetik dan memakan segala buah-buahan yang enak terhidang. Sesudah itu mereka akan dibawa  pula ke suatu tempat yang digantung pelita-pelitanya yang diperbuat daripada emas di bawah Arasy Allah Taala..  Subhanallah!...... indah sungguh kita membayangkannya. Itu baru bayangan kita, yang sebenar sudah tentu jauh lebih hebat dari bayangan minda manusia.


     Jika di Dunia kita dapat menjelajah ke pulau-pulau yang indah dan sekiranya diberi pakej 2 hari 1 malam di resort yang sederhana tentu sahaja terasa begitu menakjubkan.! inikan pula diberi peluang terbang melayang sebebasnya tanpa perlu lagi gigih membeli tiket Air Asia  atau Mas yang mahal harganya tu untuk naik melintasi awanan. Tiada juga pakej resort dan hotel berbayar  dan semua kemewahan itu diberikan percuma ..Ya Mewah dan percuma! Hanya perlu menikmatinya sahaja! Pakejnya menarik bukan?! ^^


     Tapi itulah mahu menempatkan diri di situ perlu dahulu mendapatkan 'tiket bayaran'... Tiketnya adalah sekeping pas Syahid! Pas Syahid ini tidak boleh dibayar dengan dollar Amerika apatah lagi ringgit Malaysia! Tidak laku tahu!


     Hmmm .. kita sering memikirkan bagaimana untuk mati dalam keadaan syahid sekaligus mengelak dari kesakitan yang teramat ketika sakaratulmaut berlaku. Ya! seperti tamsilan yang dibuat. Ketika proses itu berlaku tubuh bagaikan direntap dengan kuat dan keadaan tubuh terasa seperti melecur keseluruhannya. ๐Ÿ˜ซ Sudah tentulah bila dibayangkan bayangan itu sangatlah menakutkan. Cuba bayangkan jari kecil yang halus jika terkena sterika tau minyak panas sahaja kita sudah menjerih kesakitan. Inikan pula seluruh badan. Aduh! terasa pahit dan merisaukan!


     Masih terngiang-ngiang di telinga, terimbas jelas wajah para murobbi yang dalam nadanya selalu sebak berpesan kepada anak didiknya. Pesannya, wahai anak-anakku PERBANYAKKANLAH BERDOA UNTUK MATI DALAM KEADAAN SYAHID.  kerana Rasulullah pernah menyebutkan sesiapa sahaja yang berdoa untuk mati syahid, berniat sahaja untuk mati syahid di Jalan Allah Taala, maka dia telah mendapat pahala orang yang mati syahid sekalipun dia mati di atas tilam. Terkesan dengan pesanan itu, marilah kita sama-sama menanam niat untuk mati syahid dan merugilah bagi kita jika tidak mempunyai cita-cita untuk mati dalam keadaan syahid. Sekurang-kurangnya sekarang mulalah memasang niat! 


     Sepertimana yang kita selalu menyanyikan dalam program-program kem jati diri dan sebagainya. Antara liriknya berbunyi "as-Syahid Amanina" iaitu 'Syahid adalah cita-cita kami'. Bersemangat sahaja tidak cukup untuk membantu merealisasikan matlamat kita. Matlamat kehidupan kita hanyalah Allah Taala. Setiap gerak langkah kita, mesti matlamatnya Allah taala. Mungkin inilah permulaan dalam mencapai cita-cita kita tadi. Ayuh! Perbaharui niat kita sekarang teman-teman!.


     "Sakittttt!" Tiba-tiba bergegar satu ward 7 selatan..benar2 mengejutkan. Teriakan kanak2  di hujung katil sana yang takut kpd jarum suntikan terus menjadi muzik hiburan hampir stengah jam. hehe... Burung2 tadi juga turut terkejut lalu terbang menghilang. Lamunan aku juga turut sama terbang melayang.. 


     Melihatkan beberapa pesakit terlantar keletihan akibat diserang penyakit kanser itu. Gambaran kertas ligat memutar di benakku. Sebaris ayat yang melekat kemas di dalam buku ditulis sang guru.  Aku pun baru tahu, rupa-rupanyanya mati disebabkan penyakit taun atau pada zaman ini diqiaskan kepada penyakit kanser, seseorang yang menghidapinya, kemudian dia berusaha untuk merawatnya lalu ditakdirkan Allah taala dia meninggal dunia. Maka dia digolongkan sebagai mati syahid akhirat. Kesakitan yang dilaluinya pula akan diganjari pahala. Mudah-mudahan mendapat syahid buat ayahnda dan semua pesakit di sini serta untuk kita semua hendaknya. Selagi ajal tidak menjemput pulang, kita teruskanlah usaha menambah baik amalan sambil bertawakkal penuh kepada Tuhan, Allah yang Maha Penyayang. 


     Ayuh! Sama² kita bangkit hari ini dengan perbanyakkan amalan dan bercita-cita untuk mencapai syahid.. Mudah-mudahan hari ini kita lebih baik dari semalam ^^ 


Siru 'ala barokatillah


Husm 
21 Ogos 2017

Saturday, 19 August 2017

Bersalut Selut!



Hitam….
Pucat dan Kelam…
Aku mati sebelum mati…..
Terasa tubuhku bersalut selut liat….
Hatiku pula berbalut dakwat gelap….
Berdosa….dan terus dalam nista….

Hari-hari terus bergulir pergi….
Hari kelmarin begini…
Hari ini juga begini….
Kitaran hidupku tak ubah seperti robot yang hidup di bumi…
Menari-nari tanpa sebarang maknawi…
Hidup buntu.. penuh mimpi…

Siang aku bekerja….
Malam aku berpesta gila…
Bagai esok sudah tiada….
Itulah hidupku………

Hari demi hari…
Hatiku makin diconteng dosa hitam pekat dan makin menggelap…
Terasa sesak…!

Suatu hari aku terbaca kata alim ulamak…
di contengan kertas di meja mamak…
tintanya.. “ Tanda Hati sakit..bilamana tidak seronok berbuat ketaatan namun, seronok apabila membuat penderhakaan pada Tuhan”….

Aku terdiam……
Bungkam….
Sayup-sayup kedengaran Azan di surau berdekatan….
Setelah belasan Tahun solat kuabaikan…
Hati disuntik supaya kembali ke pangkuan Tuhan...
Namun, langkahku kejang…..
Mahu pergi…tapi terasa terhalang…
Namun kugagahi jua untuk sampai padanya TUHAN…
Lalu dari situlah bermulanya titik kehidupan…
Kehidupan baru menuju ke dakapan Tuhan…

Kata teman….
Rasa bersalah melakukan kemaksiatan itulah cahaya keimanan….
Cahaya kepada titik kesedaran…
Yang menuntut kepada sebuah perubahan….

Terima Kasih Wahai TUHAN kekasih alam….
Walau diriku karam di tengah lautan..
Engkau masih menghantar bahtera sinaran memutik jalan perubahan.. 

Terima Kasih Ya Rahman... 

19 Ogos 2017



Seperti biasa .. subuh yang hening... Usai solat subuh di tepi katil wad 7 selatan...

Pintu jendela luas Ku kuakkan  ... Ah......Udara pagi!

Pagi yang Segar bugar dan nyaman.. Hari ini juga keadaan ayahnda lebih tenang dari hari2 semalam walaupun masih kelemasan namun tidak selelah dan selemah seperti sebelumnya. Ruang legar zon merah ward kecemasan HUSM masih terimbau cemas dalam kotak fikiran..

Kelihatan juga Jalan raya yang luas terbentang mula sesak dengan kenderaan yang lalu lalang.. masing2 memulakan perjalanan...mesin-mesin di hospital pula mula membuka langkah kanan.. ditolak ke sana ke mari dengan iringan irama yang sedikit menakutkan ...

Hmmm.. ternyata bila segala bunyi ini diadunkan .. sekurang2nya ia menjadi suatu hiburan... Tidaklah terlalu kesepian yang boleh menjelmakan kegusaran..

Aku memerhati di sekeliling ward .. masing2 sibuk menenangkan pernafasan melalui mesin oksigen yang dikhaskan.. sekali sekala aku menghela nafas yang panjang... Terselit beribu perasaan kasihan... aku jadi penasaran...

Aku termenung lama ke luar jendela menembusi awanan... alangkah sombongnya aku di bumi Tuhan... sudahlah diberi pinjaman tubuh badan... Stok oksigen juga tidak pernah diminta bayar oleh Tuhan..di sini semuanya berbayar termasuklah oksigen... tapi.. kenapa payah benar untuk menzahirkan kesyukuran.. Nikmat Tuhan jarang sekali untuk dibilang .. dugaan Tuhan ? Hmmm... Cepat benar kita membuat hitungan...

Setelah nurse menyuntik ubat ubatan di lengan.. selang 5 minit kemudian ayahnda tertidur tenang... Aku pula mula melabuhkan diri di kerusi dan mula meregangkan urat2 besi yang kejang...

Nafasnya masih lagi belum lancar dan sempurna... Garis kedut dan kulit mengecut semakin jelas Kelihatan pada wajahnya tuanya.. Ya .. memang umurnya tidak sepadan dengan wajahnya.. tapi itulah .. kesan 'chemotherapy' dan gangguan sistem tubuhnya menyebabkan dia kelihatan tua dari umur sebenarnya.. pakcik sebelah pun beza umurnya 20 tahun lamanya .. tapi kelihatan mereka seakan akan sebaya..hmmm ..

Jam sudah menunjukkan pukul 10 pagi.. kebanyakan penduduk ward 7 selatan ini sedang mengembara ke lain-lain destinasi mimpi.. barangkali juga kesan dari ubatan yang dimasukkan tadi..

Suasana kembali sepi... Hanya kedengaran bunyi enjin2 kereta dan Lori yang sibuk dgn urusan sendiri .. kadang-kadang disulami juga dengan bunyi jiran-jiran kebatukan dan menjerih perlahan kesakitan  ..

Sungguh.. Allah menghantar aku ke sini bagi membuka mata yang dihijab oleh Nikmat yang gagal dimanfaatkan.... Jika direnung dengan mata hati yang paling dalam.. Nikmat tubuh badan serta kesihatan Yang Allah berikan tidak ada sebarang gantian..

Satu batang tubuh kita dipenuhi oleh sistem dan 'peralatan' original yang sangat canggih.. rosak sahaja satu ia akan memudaratkan satu perjalanan tubuh.. Nah.. sungguh banyak alatan yang dicipta oleh manusia bagi menampung kerosakan organ di batang tubuh manusia ... Tapi semuanya tidak langsung boleh menyamai dengan fungsi yang asal dan tetap juga semuanya mempunyai kesan dan risiko sampingan yang tersendirinya..

Aku jadi terpikir juga.. Di saat Allah memberi pinjam dengan sempurna.. kita tidak menggunakannya dengan semaksimal yang ada.. di saat Allah menariknya.. barulah kita pun sudah terhantuk baru tergadah nampaknya .. itupun kalau ada rasa .. hmmm ... Ya Rabb ampuni kami.. ๐Ÿ˜”

Ternyata... Allah ingin mengajar kita dengan Sifat JalalNya bagi menzahirkan sifat JamalNya.. ALLAH menguji tanda dia meyanyangi hambaNYA... hambaNYA sudah makin menjauh lalu DIA tarik mendekat.. Maha Penyayangnya Allah Taala kepada kita..

Ujian seseorang bukan untuk dirinya sahaja bahkan juga untuk orang disekelilingnya jua.. Ujian sakit ini untuk ayahnda.. tapi bonda jua diuji dengan kesabaran dan ketabahan  dalam menempuhi segala onak duri pelayaran dengan memikul tanggungjawab yang dahulunya dilakukan bersama, tapi kini terpaksa memikul beban yang berlebihan pula...serta tak lupa juga kesetiannya pada tanggungjawab disisi suami serta anak² lainnya.. anak² juga turut teruji sama.. teruji dengan tanggungjawabnya terhadap orang tuanya.. membenam sifat amarahnya .. melawan sikap tidak sabarnya.. melakukan pengorbanan masa .. tolak ansur dan sebagainya.. dimanapun posisi kita berada.. jangan pernah merasakan kita lebih terpaksa dari yang lainnya.. Orang lain lebih hebat pengorbanannya.  Sedangkan kita hanyalah memerah keringat sekangkang kera.. fikirlah begitu agar hati dan jiwa kita lebih positif dan sentiasa terdorong untuk melakukan kebaikan dan ketaatan..



Wahai  Allah… Yang Maha Pengasih.. lagi Maha Penyayang...
Kami memohon dengan sifat RahmanMu dan RahimMu....
Sayangilah dan kasihilah kedua orang tua kami..
sebagaimana mereka menyayangi dan mengasihi kami di masa kecil kami....
Berilah kami kekuatan dan kesabaran untuk merawat dan slalu mendoakan kedua org tua kami, 
sebagaimana mereka dulu slalu sabar merawat dan slalu mendoakan kami...

Yaa Allah… Yaa Ghaffar… Yaa Ghafuur… Yaa Afuwwu… Yaa Rauuf…
Ampunilah segala dosa dan kesalahan kedua orang tua kami selama hidupnya di dunia, baik yang disengaja ataupun yang tidak disengaja, baik yang nyata mahupun yang tersembunyi.
Yaa Allah... Bagi mereka yg pernah tersakiti oleh ucapan dan tindakan kedua orangtua kami, baik yang sengaja ataupun tidak, jadikanlah agar mereka ikhlas, ridho dan memaafkan kesalahan orangtua kami.

Yaa Allah… Yaa Salaam… Yaa Mukmin… Yaa Muhaimin...
Khusus utk Ayahanda kami yang sedang terbaring sakit... 
Jika Engkau berkenan mengangkat penyakitnya, berilah kesembuhan dan limpahkan baginya kesehatan sebagaimana sebelumnya, sehingga kami bisa berkumpul dan bersama lagi...

Namun, jika Engkau berkenan menjadikan penyakitnya sebagai penghapus dosa-dosanya di masa lalu,
 yaa Allah… 
Hilangkanlah segala rasa sakitnya, ringankan penderitaannya, dan gantikanlah dengan keinginan untuk selalu berzikir menyebut namaMu, yaa Allah... 
Jadikan lidah dan bibirnya slalu basah menyebut asmaMu, ya Allah... 
Jadikan hatinya selalu sadar mengingatMu, yaa Allah... 
Berikan kesempatan baginya untuk selalu mengucap Laa ilaaha illallaah di sepanjang akhir hidupnya,
yaa Allah... 
Karuniakanlah husnul khootimah baginya, ya Allah... Dan jauhkan darinya shu'ul khootimah...
Karuniakanlah husnul khootimah baginya, ya Allah... Dan jauhkan darinya shu'ul khootimah...
Karuniakanlah husnul khootimah baginya, ya Allah... Dan jauhkan darinya shu'ul khootimah...

Yaa Allah... Jika Engkau berkenan memanggilnya pulang ke pangkuanMu... 
Panggillah beliau dengan sebaik-baik dan selembut-lembut panggilan, yaa Allah...
Jadikanlah beliau ikhlas dan ridha memenuhi panggilanMu, yaa Allah...
Jadikan pula kami semua putra-putrinya, cucu-cucu dan cicit-cicitnya ikhlas dan ridha dalam melepasnya...
Jangan biarkan ada hambatan dan ganjalan sekecil apapun, baik yang nyata maupun yang tersembunyi, yang bisa menghalangi perjalanannya menujuMu, yaa Allah...

Yaa Allah... Yaa Aliim... Yaa Salaam....
Engkaulah yang maha mengetahui dan menguasai segala urusan...
Engkau pula yang tahu apa-apa yang terbaik bagi seluruh hambaMu, yaa Allah...
Berikanlah yang terbaik pada kami semua, kepada Ayahanda kami yang sedang terbaring sakit, dan kepada kami semua putra-putrinya, cucu-cucunya dan cicit-cicitnya... 
Kami pasrahkan segala urusan kami kepadaMu, yaa Allah...

Allahumma sholli wa sallim wa baarik 'alaa sayyidina muhammad... Abdika wa nabiyyika wa rasulika... Nabiiyil 'ummiyyin... Wa 'alaa aalihi wa sohbihi ajma'iin...

Subhaana robbika robbil'izzati 'amma yaasifun... Wa salaamun 'alal mursalin... Walhamdulillaahi robbil'aalamiin...


HUSM 
19 Ogos 2017

Friday, 28 July 2017

ABU HAMID AL-GHAZALI - SIRI 2



Rentetan dari artikel yang lepas kita sambung mengembara pula menjejaki kisah seorang ulama' agung ini, bagaimana beliau mula memasuki lapangan masyarakat untuk berkongsi ilmu yang berharga yang dimilikinya kepada ummah...


     Sebagaimana yang kita dengar, al-Ghazali merupakan seorang tokoh yang terpandang pada zamannya dan seorang yang sangat popular di antara generasinya.  Al-Ghazali membuka majlis ilmu untuk mengajar dan menyebarkan pemikirannya dan pada ketika yang lain beliau menggunakan kesempatan yang ada untuk mengarang kitab.  Al-Ghazali sangat menekuni majlisnya sehinggalah beliau pergi ke Naisabur untuk mengikuti majlis Perdana Menteri Nidzamul Muluk.  Di sana al-Ghazali diterima dengan penghormatan yang cukup luar biasa dan darjat intelektualnya juga dipandang tinggi oleh Perdana Menteri. Sementara itu Perdana Menteri juga seorang yang sangat menghargai dan memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada para Ulama dan orang-orang yang layak dihormati.  Dan kelayakan tokoh seperti itu ada pada Imam al-Ghazali yang memiliki analisis tajam dan pandangan yang luas, sehingga namanya mencuat masyhur. 


     Hal ini terjadi, selepas Imam al-Haramain meninggal pada tahun 478 H, al-Ghazali pergi menuju ke kem tentera untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Nidzam al-Muluk. Ketika itu beliau berumur 28 tahun. Walaupun begitu, beliau telah terkenal dengan karakter yang berkarisma dan berpengaruh tinggi. Di dalam majlis tersebut, telah berkumpulnya para cendikiawan dan ulama yang tidak pernah sepi dari berdiskusi mengenai masalah fiqh serta lontaran berbagai gagasan cemerlang lainnya. Kemudian al-Ghazali pun terlibat dalam gelanggang perdebatan tersebut. Beliau mampu menampilkan berbagai macam argumentasi ilmiah beserta kecerdasan gagasannya, sehingga para ulama dan cendikiawan tersebut mengakui kehebatannya. Serta merta, mereka pun memberikan penghormatan yang tinggi  terhadapnya.


     Akhirnya, Perdana Menteri Nidzamul Muluk menugaskan al-Ghazali untuk pergi ke Baghdad dalam rangka mengajar di Akademi Nidzamiyah. Akademi Nidzamiyah merupakan pusat pengajian yang terkenal pada ketika itu. Al-Ghazali pun pergi ke sana, dan seluruh para siswa dan para Ulama di sana sangat mengkagumi beliau. Sejak saat itu, beliau menjadi Imam penduduk Iraq. 



     Beliau menuju ke sana pada tahun ke 484 H. pada umur beliau pada ketika itu ialah tiga puluh empat tahun.  Inilah al-Ghazali yang telah mencapai kedudukan tinggi, duniawi pun datang kepadanya dengan kerendahan dan tunduk, hartapun mengalir dengan lajunya.  Namanya juga semakin tersohor di pelusuk negeri.  Kedudukan yang tinggi itu menjadikan dirinya banyak didekati oleh para penguasa pada ketika itu.


     Dengan kemasyuran yang menggunung, Imam al-Ghazali sememangnya pada waktu itu sedang tenggelam dalam harta kekayaan, kedudukan dan ketenaran. Namun di hatinya mulai timbul pertentangan yang sengit sekali antara ajakan hawa nafsu duniawi dan ajakan menjauhi duniawi untuk kembali ke jalan akhirat.  Demikianlah pertentangan yang ada di dalam hati Imam al-Ghazali antara mengikuti hawa nafsu dan mengikuti panggilan kepada kehidupan akhirat itu selama enam bulan.  


     Hampir enam bulan lamanya al-Ghazali sentiasa dibingungkan antara tarikan syahwat dunia dengan tarikan akhirat , iaitu sejak awal Rejab 488H, sehingga masalahnya sampai pada batas pilihan, bahkan sampai terpaksa.  Di saat itu beliau tidak mampu lagi berbicara dan mengunyah makanan.  Keadaannya semakin parah dan badannya pun semakin lemah.  Akhirnya beliau bersandar kepada Allah swt. bagaikan orang dalam keadaan kritikal, memohon kepada-Nya agar memudahkan baginya untuk berpaling dari kehidupannya ini, maka Allah sebagai pengabul doa orang yang dalam kesempitan, mengabulkan permohonan ini.  Al-Ghazali meninggalkan kota Baghdad dan meninggalkan tugas mengajarnya di Madrasah Nidzamiyah Baghdad.  Beliau merantau di bumi  Allah dan menunaikan haji terlebih dahulu di Baitullah, kemudian berpindah-pindah mulai dari Damaskus, Yurussalem, dari kota ke kota dan kadang-kadang dari kampung ke gurun. 


      Al-Ghazali meninggalkan dunia manusia termasuk mengajar ilmu-ilmu syariat, ketika beliau melihat bahawa niatnya tidak ikhlas kepada Allah swt, tapi ianya hanyalah untuk mencari kedudukan dan pengaruh.  Beliau menyedarinya tatkala melakukan refleksi ke atas dirinya, dan analisanya yang jujur terhadap motivasi hidupnya, sehingga tidak tertipu lahirnya oleh batin dan gambarannya dari hakikat yang nyata.


            Dengan samar-samar al-Ghazali berusaha untuk keluar dari Baghdad. Beliau berpura-pura hendak pergi ke Mekkah, namun tujuan sebenarnya adalah Syam. Beliau berharap untuk mendapatkan Ma’rifat dan hatinya berhasrat kuat untuk mendapatkan Al-Fathu.  Iaitu yang dibuka kepada para wali dan orang-orang soleh yang terdahulu.  Ketika sampai di Syam beliau menetap disana selama dua tahun tanpa melakukan apapun selain ber’uzlah (mengasingkan diri) dan berkhalwat (menyepi), Ar Riyadhah wal Mujaahadah (bersungguh-sungguh dalam membersihkan jiwanya, mendidik akhlaknya, dan mensucikan hatinya dengan banyak berzikir kepada Allah Ta’ala). Sepanjang harinya beliau sentiada ber’iktikaf di menara masjid Jami’ Damaskus.  Di tempat itulah beliau mengurung dirinya.  Dari Syam beliau menuju ke Baitul Maqdis (Palestin).  Setiap hari beliau masuk ke dalam sakhrah.  Di tempat itu beliau banyak menyepi dan mengunci diri di dalamnya.  Kemudian beliau pergi ke Hijazz untuk menunaikan ibadah Haji dan menziarahi Makam Rasulullah saw.   


      Beliau meninggalkan kehidupan duniawi, kedudukan dan ketenaran yang telah memenuhi cakrawala, untuk terjun ke kehidupan zuhud dan sederhana, tekun bermujahadah.  Al-Ghazali melakukan uzlah kurang lebih 10 tahun meninggalkan manusia, termasuk dunia mereka yang penuh persaingan, bahkan sampai meninggalkan mengajar ilmu syariat, kerana dirasa niatnya kurang ikhlas untuk Allah swt.  Setelah itu, al-Ghazali yang telah memutuskan hubungannya dengan berbagai kesibukan dan keterikatan mula berfikir untuk kembali dan menyambung tugas dakwah dan gerakan untuk menghidupkan agama. 


     Al-Ghazali kemudian keluar dari uzlahnya setelah melewati kebimbangan dan pemikiran yang cukup panjang, bermusyawarah dengan para ahli pemilik mata hati dan jiwa.  Semuanya menganjurkan agar beliau meninggalkan tempat ibadatnya dan kembali untuk mengajar serta memberi manfaat kepada manusia dalam keadaan menyeru pada ilmu yang dapat menjauhkan dari kedudukan.


              
Rujukan :

Dr. Yusuf al-Qardhawi. (1988). ( Al –Imam al-Ghazali baina Madihi wa Naqidihi / Pro Kontra Pemikiran al-Ghazali  )

Dr Abdul halim Mahmud. (TTH). Hal Ihwal Tasawuf Analisa Tentang Al-Munqidz Minadhalal (Penyelamat Dari Kesesatan) Oleh al-Ghazali

Ali Muhammad Ash-Shallabi. (2015). ( Al-Imam Al-Ghazali wa jududuhu fi al- ishlah wa at-tajdid al-‘alimul kabir wal murobbi asy-Syahir Asy-Syaikh ‘Abdul Qadir Jailaniy ) 

Ali Muhammad Ash-Shallabi. (2015). ( Al-Imam Al-Ghazali wa jududuhu fi al- ishlah wa at-tajdid al-‘alimul kabir wal murobbi asy-Syahir Asy-Syaikh ‘Abdul Qadir Jailaniy )

Wednesday, 26 July 2017

Abu Hamid Al-Ghazali Siri 1



BIOGRAFI RINGKAS

Penulis kitab Ihya’ Ulumuddin yaang sangat terkenal sehingga abad ini ialah dikenali sebagai Abu Hamid Muhammad, dikenali juga sebagai al-Ghazali.  Beliau dilahirkan pada tahun 450H bersamaan 1058M, di sebuah perkampungan di Tus di wilayah Khurasan di Persia.               

      Nama lengkap al-Ghazali adalah Abu Hamid, Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Ahmad al-Ghazzali al-Tusi dan dirujuk dengan beberapa gelaran seperti Hujjat al-Islam (the proof of Islam) dan Zayn al-Din (The Ornament of Religion).  Al-Ghazali dilahirkan pada tahun 450H./1058M. di Tabaran, iaitu sebuah kota di daerah Tus yang terletak dalam negeri Khurasan.  Tabaran adalah salah satu dari dua kota utama dalam daerah Tus selain Nawqan.  Dalam dua kota ini terdapat lebih 1000 buah kampung.  Tus pula adalah sebuah daerah yang terletak di Timur Laut Empayar Parsi lama berdekatan dengan Meshhed di Khurasan. Daerah ini adalah sebuah bandar yang agak luas, terbina kemas, dan berpenduduk padat.  Ia terkenal kerana adanya air yang mengalir, pokok-pokok dan endapan logam yang terletak di kawasan banjaran pergunungan.  Selain itu, ia juga terkenal kerana daerah ini menjadi tempat kelahiran beberapa orang tokoh terkenal seperti Abu Ali al-Hasan ibn Ishaq yang lebih terkenal dengan gelaran Nizam al-Mulk.  Ia adalah salah satu daripada dua bandar termasyhur di Khurasan selain Naysabur.               

      Sesetengah penulis mencatatkan nama beliau sebagai al-Ghazzali (double z) yang dikaitkan dengan pekerjaan bapanya sebagai pemintal benang bulu.  Manakala ramai pula yang menyebutnya al-Ghazali (satu z) sempena nama kampung kelahirannya iaitu Ghazalah.  Beliau sering dirujuk dengan beberapa gelaran seperti Hujjah al-Islam (The Proof of Islam), Zayn al-Din (The Ornament of Religion) dan al-Nasyaburi

      Al-Ghazali adalah tokoh pemikir Islam dan sekaligus tokoh pemikir kemanusiaan secara umum.  Beliau juga salah seorang yang berotak cemerlang yang memiliki berbagai keunggulan dan jasa dalam pelbagai aspek.  Salah seorang yang menjadi ensiklopedia di zamannya yang menguasai seluruh ilmu syariat kecuali ilmu hadis yang diakuinya sebagai ilmu yang tidak dikuasainya secara mendalam.  Ilmu pengetahuan yang dikuasainya mencakupi Fiqh, Usul, Ilmu Kalam, Mantiq, Filsafat, Tasawuf, Akhlak dan sebagainya.  Al-Ghazali juga telah banyak menyusun buku tentang semua bidang tersebut.

     Al-Ghazali berasal daripada keluarga yang berkedudukan sederhana dalam masyarakat yang menenkankan aspek penghayatan ajaran Islam dalam melayari bahtera kehidupan mereka. Ayahnya bekerja sebagai penenun bulu binatang untuk dibuat pakaian yang kemudiannya dijual di kedai-kedai di kota Tus, Khurasan.  Dia merupakan seorang lelaki yang soleh, ahli tasawuf yang tidak makan melainkan daripada hasil kerja sendiri yang diusahakannya.  Ini kerana dia sentiasa takut akan balasan buruk daripada Allah s.w.t.

     Al-Ghazali menjalani kehidupan berkeluarga sebagaimana juga orang lain, namun tidak banyak catatan sejarawan yang menceritakan tentang urusan kehidupan kekeluargaannya.  Apa yang dapat diketahui berhubung dengannya ialah beliau telah berkahwin sebelum umurnya mencecah 20 tahun dan dikurniakan empat orang anak, tiga perempuan dan seorang lelaki. Gelaran “Abu Hamid” yang terdapat di pangkal namanya adalah sempena nama anak lelaki tuggalnya, “Hamid” yang telah meninggal dunia ketika masih kecil.



PENDIDIKAN AL-GHAZALI

Berdasarkan sumber-sumber sejarah, ayah al-Ghazali mewasiatkan kedua-dua orang anaknya itu iaitu Ahmad dan Muhammad kepada seorang sufi.  Pada masa sakitnya beliau berpesan kepada seorang sufi supaya diasuh dan dididik dengan menggunakan harta peninggalannya sebagai bekal untuk kedua-dua orang anaknya itu.

    Semasa kecil al-Ghazali telah belajar di kampungnya sendiri iaitu di Tus dengan seorang guru bernama Ahmad bin Muhammad Abu Hamid al-Razkani.  Aspek pelajaran yang diikuti di peringkat ini adalah sama dengan anak-anak yang sebaya dengannya.  Kurikulum menekankan aspek menghafal al-Quran, mempelajari asas-asas membaca dan menulis diikuti oleh pelajaran tatabahasa Arab dan nahu, matematik, fikah dan lain-lain.  Ayah beliau seorang yang mencintai ilmu.  Malangnya keadaan hidup tidak mengizinkan beliau untuk mempelajari ilmu lalu beliau hanya menggantungkan harapan agar kedua-dua anaknya mendapat peluang untuk belajar dan menjadi seorang alim.  Ayah beliau telah meninggal dunia dalam usia yang masih muda dan meninggalkan kedua-dua anaknya al-Ghazali dan adiknya di bawah jagaan seorang sahabat ayahnya.  Dengan harta peninggalan ayahnya yang sedikit itu, kedua-dua orang adik-beradik ini telah mendapat peluang untuk menerima pelajaran asas secara tradisional.

     Oleh sebab kehabisan wang, kedua-dua beradik itu telah dinasihatkan supaya menyambung pelajaran ke salah sebuah sekolah yang ada pada ketika itu.  Kedua-duanya diberi pelajaran serta perbelanjaan sara hidup secara percuma. Semasa di Jurjan al-Ghazali telah berguru dengan Syaikh Ismail bin Saadah al-Ismail (meninggal dunia pada 487H bersamaan 1084M).  Beliau telah membuat catatan apa yang dipelajari berhubung dengan fikah mazhab Syafi’i daripada guru tanpa menghafal.  Tempoh pengajiannya di sana selama lima tahun.  Pada than 470H beliau pulang ke kampungnya di sana selama lima tahun.   Pada tahun 470H beliau pulang ke kampungnya dan tinggal di sana selama tiga tahun.  Setelah beliau mengalami satu peristiwa di mana segala bekalan dan buku-buku telah dirampas oleh perompak-perompak semasa beliau dalam perjalanan pulang ke rumah telah mengubah ciri pembelajaran daripada bentuk membuat catatan kepada hafalan yang mana beliau telah menghafal buku-buku catatan keseluruhannya.

     Dengan tindakan dan perubahan yang dibuat telah menjadikan beliau pakar dalam pelbagai bidang ilmu yang diikuti sehingga para pengkaji telah menyifatkan beliau sebagai ensiklopedia zaman itu.  Dari sudut lain pula, perubahan yang dibuat itu menunjukkan beliau adalah seorang yang benar-benar peka dengan apa yang dialami serta mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan diri daripada menghadapi keadaan yang boleh merosakkan dirinya.  Kepekaan itu kelihatan sama dalam konteks tindakan dan sumbangannya menyelamatkan masyarakat.

     Setelah menamatkan pelajaran fikah di Tus dan Jurjan, al-Ghazali berpindah ke Naisabur yang terletak 49 batu ke barat daerah Tus.  Ketika itu umur beliau 23 tahun iaitu pada tahun 437H. Di sini beliau berguru dengan Imam al-Haramain al-Juwaini dalam pelbagai ilmu pengetahuan seperti ilmu mantik, ilmu falsafah dan fikah mazhab Syafi’i.  Al-Ghazali adalah seorang murid Imam al Juwaini yang paling pintar dan kuat berusaha serta suka menyelidik dan mengkaji sehingga guru itu menyifatkan beliau sebagai “lautan yang melimpah”.  Dengan Imam besar ini al-Ghazali mendalami ilmu fikah lebih mendalam lagi.  



RUJUKAN :
Abdul Salam Yussof. (2005). ‘ Pujian dan Kritikan Terhadap Imam Al-Ghazali ’           
Ali Muhammad Ash-Shallabi. (2015). ( Al-Imam Al-Ghazali wa jududuhu fi al- ishlah wa at-tajdid al-‘alimul kabir wal murobbi asy-Syahir Asy-Syaikh ‘Abdul Qadir Jailaniy ) 
Mohd Farid Al-Rifai. (1936). Al-Ghazali. Kahirah : Cetakan Esai Halab

Mohd Fauzi bin Hamat. (2005). Ketokohan Al-Ghazzali Dalam Bidang Logik

Dr. Yusuf al-Qardhawi. (1988). ( Al –Imam al-Ghazali baina Madihi wa Naqidihi / Pro Kontra Pemikiran al-Ghazali  )