ABU HAMID AL-GHAZALI - SIRI 2



Rentetan dari artikel yang lepas kita sambung mengembara pula menjejaki kisah seorang ulama' agung ini, bagaimana beliau mula memasuki lapangan masyarakat untuk berkongsi ilmu yang berharga yang dimilikinya kepada ummah...


     Sebagaimana yang kita dengar, al-Ghazali merupakan seorang tokoh yang terpandang pada zamannya dan seorang yang sangat popular di antara generasinya.  Al-Ghazali membuka majlis ilmu untuk mengajar dan menyebarkan pemikirannya dan pada ketika yang lain beliau menggunakan kesempatan yang ada untuk mengarang kitab.  Al-Ghazali sangat menekuni majlisnya sehinggalah beliau pergi ke Naisabur untuk mengikuti majlis Perdana Menteri Nidzamul Muluk.  Di sana al-Ghazali diterima dengan penghormatan yang cukup luar biasa dan darjat intelektualnya juga dipandang tinggi oleh Perdana Menteri. Sementara itu Perdana Menteri juga seorang yang sangat menghargai dan memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada para Ulama dan orang-orang yang layak dihormati.  Dan kelayakan tokoh seperti itu ada pada Imam al-Ghazali yang memiliki analisis tajam dan pandangan yang luas, sehingga namanya mencuat masyhur. 


     Hal ini terjadi, selepas Imam al-Haramain meninggal pada tahun 478 H, al-Ghazali pergi menuju ke kem tentera untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Nidzam al-Muluk. Ketika itu beliau berumur 28 tahun. Walaupun begitu, beliau telah terkenal dengan karakter yang berkarisma dan berpengaruh tinggi. Di dalam majlis tersebut, telah berkumpulnya para cendikiawan dan ulama yang tidak pernah sepi dari berdiskusi mengenai masalah fiqh serta lontaran berbagai gagasan cemerlang lainnya. Kemudian al-Ghazali pun terlibat dalam gelanggang perdebatan tersebut. Beliau mampu menampilkan berbagai macam argumentasi ilmiah beserta kecerdasan gagasannya, sehingga para ulama dan cendikiawan tersebut mengakui kehebatannya. Serta merta, mereka pun memberikan penghormatan yang tinggi  terhadapnya.


     Akhirnya, Perdana Menteri Nidzamul Muluk menugaskan al-Ghazali untuk pergi ke Baghdad dalam rangka mengajar di Akademi Nidzamiyah. Akademi Nidzamiyah merupakan pusat pengajian yang terkenal pada ketika itu. Al-Ghazali pun pergi ke sana, dan seluruh para siswa dan para Ulama di sana sangat mengkagumi beliau. Sejak saat itu, beliau menjadi Imam penduduk Iraq. 



     Beliau menuju ke sana pada tahun ke 484 H. pada umur beliau pada ketika itu ialah tiga puluh empat tahun.  Inilah al-Ghazali yang telah mencapai kedudukan tinggi, duniawi pun datang kepadanya dengan kerendahan dan tunduk, hartapun mengalir dengan lajunya.  Namanya juga semakin tersohor di pelusuk negeri.  Kedudukan yang tinggi itu menjadikan dirinya banyak didekati oleh para penguasa pada ketika itu.


     Dengan kemasyuran yang menggunung, Imam al-Ghazali sememangnya pada waktu itu sedang tenggelam dalam harta kekayaan, kedudukan dan ketenaran. Namun di hatinya mulai timbul pertentangan yang sengit sekali antara ajakan hawa nafsu duniawi dan ajakan menjauhi duniawi untuk kembali ke jalan akhirat.  Demikianlah pertentangan yang ada di dalam hati Imam al-Ghazali antara mengikuti hawa nafsu dan mengikuti panggilan kepada kehidupan akhirat itu selama enam bulan.  


     Hampir enam bulan lamanya al-Ghazali sentiasa dibingungkan antara tarikan syahwat dunia dengan tarikan akhirat , iaitu sejak awal Rejab 488H, sehingga masalahnya sampai pada batas pilihan, bahkan sampai terpaksa.  Di saat itu beliau tidak mampu lagi berbicara dan mengunyah makanan.  Keadaannya semakin parah dan badannya pun semakin lemah.  Akhirnya beliau bersandar kepada Allah swt. bagaikan orang dalam keadaan kritikal, memohon kepada-Nya agar memudahkan baginya untuk berpaling dari kehidupannya ini, maka Allah sebagai pengabul doa orang yang dalam kesempitan, mengabulkan permohonan ini.  Al-Ghazali meninggalkan kota Baghdad dan meninggalkan tugas mengajarnya di Madrasah Nidzamiyah Baghdad.  Beliau merantau di bumi  Allah dan menunaikan haji terlebih dahulu di Baitullah, kemudian berpindah-pindah mulai dari Damaskus, Yurussalem, dari kota ke kota dan kadang-kadang dari kampung ke gurun. 


      Al-Ghazali meninggalkan dunia manusia termasuk mengajar ilmu-ilmu syariat, ketika beliau melihat bahawa niatnya tidak ikhlas kepada Allah swt, tapi ianya hanyalah untuk mencari kedudukan dan pengaruh.  Beliau menyedarinya tatkala melakukan refleksi ke atas dirinya, dan analisanya yang jujur terhadap motivasi hidupnya, sehingga tidak tertipu lahirnya oleh batin dan gambarannya dari hakikat yang nyata.


            Dengan samar-samar al-Ghazali berusaha untuk keluar dari Baghdad. Beliau berpura-pura hendak pergi ke Mekkah, namun tujuan sebenarnya adalah Syam. Beliau berharap untuk mendapatkan Ma’rifat dan hatinya berhasrat kuat untuk mendapatkan Al-Fathu.  Iaitu yang dibuka kepada para wali dan orang-orang soleh yang terdahulu.  Ketika sampai di Syam beliau menetap disana selama dua tahun tanpa melakukan apapun selain ber’uzlah (mengasingkan diri) dan berkhalwat (menyepi), Ar Riyadhah wal Mujaahadah (bersungguh-sungguh dalam membersihkan jiwanya, mendidik akhlaknya, dan mensucikan hatinya dengan banyak berzikir kepada Allah Ta’ala). Sepanjang harinya beliau sentiada ber’iktikaf di menara masjid Jami’ Damaskus.  Di tempat itulah beliau mengurung dirinya.  Dari Syam beliau menuju ke Baitul Maqdis (Palestin).  Setiap hari beliau masuk ke dalam sakhrah.  Di tempat itu beliau banyak menyepi dan mengunci diri di dalamnya.  Kemudian beliau pergi ke Hijazz untuk menunaikan ibadah Haji dan menziarahi Makam Rasulullah saw.   


      Beliau meninggalkan kehidupan duniawi, kedudukan dan ketenaran yang telah memenuhi cakrawala, untuk terjun ke kehidupan zuhud dan sederhana, tekun bermujahadah.  Al-Ghazali melakukan uzlah kurang lebih 10 tahun meninggalkan manusia, termasuk dunia mereka yang penuh persaingan, bahkan sampai meninggalkan mengajar ilmu syariat, kerana dirasa niatnya kurang ikhlas untuk Allah swt.  Setelah itu, al-Ghazali yang telah memutuskan hubungannya dengan berbagai kesibukan dan keterikatan mula berfikir untuk kembali dan menyambung tugas dakwah dan gerakan untuk menghidupkan agama. 


     Al-Ghazali kemudian keluar dari uzlahnya setelah melewati kebimbangan dan pemikiran yang cukup panjang, bermusyawarah dengan para ahli pemilik mata hati dan jiwa.  Semuanya menganjurkan agar beliau meninggalkan tempat ibadatnya dan kembali untuk mengajar serta memberi manfaat kepada manusia dalam keadaan menyeru pada ilmu yang dapat menjauhkan dari kedudukan.


              
Rujukan :

Dr. Yusuf al-Qardhawi. (1988). ( Al –Imam al-Ghazali baina Madihi wa Naqidihi / Pro Kontra Pemikiran al-Ghazali  )

Dr Abdul halim Mahmud. (TTH). Hal Ihwal Tasawuf Analisa Tentang Al-Munqidz Minadhalal (Penyelamat Dari Kesesatan) Oleh al-Ghazali

Ali Muhammad Ash-Shallabi. (2015). ( Al-Imam Al-Ghazali wa jududuhu fi al- ishlah wa at-tajdid al-‘alimul kabir wal murobbi asy-Syahir Asy-Syaikh ‘Abdul Qadir Jailaniy ) 

Ali Muhammad Ash-Shallabi. (2015). ( Al-Imam Al-Ghazali wa jududuhu fi al- ishlah wa at-tajdid al-‘alimul kabir wal murobbi asy-Syahir Asy-Syaikh ‘Abdul Qadir Jailaniy )

Comments