Kisah Seorang Sufi


Kalau hendak menjadi seorang sufi jadilah seperti Nabi Musa yang memakai pakaian yang sederhana tetapi berani berhadapan dengan Firaun yang memakai pakaian maharaja. Atau jadilah seperti Nabi Sulaiman yang menjadi raja besar dengan segala kemewahan dan kekuasaan tetapi makanan hariannya cuma roti kering.
Satu ketika Nabi Sulaiman sedang melayang di atas tikar terbang diiringi oleh pengawalnya dari kaum jin. Datang peringatan dalam hatinya.  Jika dalam hatinya ada sebutir debu dari rasa takbur nescaya dia akan dibenamkan ke dasar bumi sedalam tingginya dia terbang di udara. Malah pernah Nabi Sulaiman berkata: “Satu kalimah Subhanallah lebih berharga bagiku dari segala dunia dan isinya.”
Menjadi orang sufi ertinya sanggup memikul tugas besar seperti Nabi Yusuf yang telah menjadi menteri Perbendaharaan. Baginda menyimpan makanan yang cukup selama tujuh tahun untuk berdepan dengan musim kemarau. Bukanlah dipanggil orang sufi jika menjadi masalah kepada masyarakat dan hidup dengan meminta belas kasihan dari orang ramai.
Seorang sufi bukanlah orang yang memutuskan nafsunya seperti seorang sami Buddha tetapi dia sanggup mengawalnya seperti Nabi Yusuf ketika berhadapan dengan godaan Zulaikha. Seorang sufi juga mesti sanggup menahan rasa sakit sepertimana Nabi Ayub, menahan penderitaan walaupun hanya tinggal hati dan lidahnya sahaja yang masih tidak dijangkit penyakit.
Apabila ditanya orang mengapa baginda tidak berdoa meminta sihat sedangkan baginda seorang Nabi yang makbul doanya. Lantas baginda berkata: “Aku malu untuk berdoa  pada Allah kerana aku baru ditimpa sakit selama dua tahun sedangkan Allah memberi aku sihat selama enam puluh tahun.”
Seorang sufi bukanlah orang yang lari daripada kemungkaran masyarakatnya tetapi dia adalah orang yag berjuang menegakkan makruf di tengah banjir kemungkaran. Kalaupun mereka lari, adalah dengan niat untuk membina kekuatan sebagai persediaan untuk kembali ke tengah gelanggang perjuangan. Seorang sufi adalah orang yang sanggup menurut jejak Nabi Ibrahim.
Baginda sanggup dibakar kerana meruntuhkan berhala pujaan Namrud dan rakyatnya. Jadilah pemimpin yang mempunyai jiwa sufi seperti Nabi Zulkifli yang tahan berhadapan dengan karenah pengikutnya. Atau milikilah kehebatan seperti Nabi Isa  A.S. yang sanggup berbantalkan lengan ketika tidur di malam hari.
Itulah hidup sufi yang dituntut oleh Allah pada kita untuk dimiliki. Syukur berhadapan dengan nikmat, sabar berhadapan dengan ujian, berani berhadapan dengan kezaliman, tawadhuk bila berhadapan dengan kebenaran dan dalam apa juga keadaan sekalipun hati tetap sama dan tenang tanpa cacat atau berubah.
Menjadi seorang sufi bukanlah mengalah pada semua  suasana dalam berhadapan dengan kekufuran, tetapi sufi sebenar sanggup berperang seperti peribadi Nabi Muhammad SAW yang ada kalanya berbicara dengan pedang apabila kata-kata gagal menahan serangan fizikal orang-orang Musyrikin.
Seorang sufi juga bukan orang yang lari daripada harta ketika diperlukan untuk mengendalikannya tetapi menjadi seperti Abdul Rahman bin Auf yang bertindak sebagai “bank” kepada masyarakat Islam. Namun jangan sampai ditawan oleh dunia seperti Tsa’labah. Seorang sufi juga adalah orang yang licin mengintip musuh seperti Abu Huzaifah ataupun mempunyai kepakaran strategi peperangan seperi Salman Al Farisi yang menjadi “master-mind” dalam Peperangan Khandak.
Nah, itulah peribadi contoh jika kita hendak mengikut jalan-jalan sufi. Bukan seperti sangkaan orang sekarang yang meletakkan hidup sufi sebagai hidup yang hina.  Pada sangkaan setengah orang, sufi menjadikan seseorang lepas bebas dari masyarakat sekelilingnya. Bila disebut sufi orang akan membayangkan seorang yang berjanggut dengan pakaian yang  buruk duduk tersepuk di mihrab-mihrab masjid menggetil tasbih.
Makanannya disedekahkan orang, sementara dia duduk sendirian mencari Tuhannya dalam ‘khalwat’ dan zikirnya. Bukan itu cara hidup sufi, kerana bukan seperti itu hidup para Rasul, Nabi dan para sahabat zaman dahulu!
http://genta-rasa.com/2012/06/22/menjadi-seorang-sufi/Bukan itu yang dinamakan sufi. Kerana bukan itu cara hidup tokoh-tokoh sufi yang telah kita paparkan tadi. Walaupun tangan orang sufi selalu menggetil tasbih tetapi tangan itu juga sanggup memegang cangkul untuk bertani, tangan itu sanggup memegang pena untuk memerangi kebatilan dan ada masanya tangan itu juga sanggup memikul senjata memerangi kekufuran.
rujukan :
http://genta-rasa.com/2012/06/22/menjadi-seorang-sufi/

Comments