Friday, 28 July 2017

ABU HAMID AL-GHAZALI - SIRI 2



Rentetan dari artikel yang lepas kita sambung mengembara pula menjejaki kisah seorang ulama' agung ini, bagaimana beliau mula memasuki lapangan masyarakat untuk berkongsi ilmu yang berharga yang dimilikinya kepada ummah...


     Sebagaimana yang kita dengar, al-Ghazali merupakan seorang tokoh yang terpandang pada zamannya dan seorang yang sangat popular di antara generasinya.  Al-Ghazali membuka majlis ilmu untuk mengajar dan menyebarkan pemikirannya dan pada ketika yang lain beliau menggunakan kesempatan yang ada untuk mengarang kitab.  Al-Ghazali sangat menekuni majlisnya sehinggalah beliau pergi ke Naisabur untuk mengikuti majlis Perdana Menteri Nidzamul Muluk.  Di sana al-Ghazali diterima dengan penghormatan yang cukup luar biasa dan darjat intelektualnya juga dipandang tinggi oleh Perdana Menteri. Sementara itu Perdana Menteri juga seorang yang sangat menghargai dan memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada para Ulama dan orang-orang yang layak dihormati.  Dan kelayakan tokoh seperti itu ada pada Imam al-Ghazali yang memiliki analisis tajam dan pandangan yang luas, sehingga namanya mencuat masyhur. 


     Hal ini terjadi, selepas Imam al-Haramain meninggal pada tahun 478 H, al-Ghazali pergi menuju ke kem tentera untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Nidzam al-Muluk. Ketika itu beliau berumur 28 tahun. Walaupun begitu, beliau telah terkenal dengan karakter yang berkarisma dan berpengaruh tinggi. Di dalam majlis tersebut, telah berkumpulnya para cendikiawan dan ulama yang tidak pernah sepi dari berdiskusi mengenai masalah fiqh serta lontaran berbagai gagasan cemerlang lainnya. Kemudian al-Ghazali pun terlibat dalam gelanggang perdebatan tersebut. Beliau mampu menampilkan berbagai macam argumentasi ilmiah beserta kecerdasan gagasannya, sehingga para ulama dan cendikiawan tersebut mengakui kehebatannya. Serta merta, mereka pun memberikan penghormatan yang tinggi  terhadapnya.


     Akhirnya, Perdana Menteri Nidzamul Muluk menugaskan al-Ghazali untuk pergi ke Baghdad dalam rangka mengajar di Akademi Nidzamiyah. Akademi Nidzamiyah merupakan pusat pengajian yang terkenal pada ketika itu. Al-Ghazali pun pergi ke sana, dan seluruh para siswa dan para Ulama di sana sangat mengkagumi beliau. Sejak saat itu, beliau menjadi Imam penduduk Iraq. 



     Beliau menuju ke sana pada tahun ke 484 H. pada umur beliau pada ketika itu ialah tiga puluh empat tahun.  Inilah al-Ghazali yang telah mencapai kedudukan tinggi, duniawi pun datang kepadanya dengan kerendahan dan tunduk, hartapun mengalir dengan lajunya.  Namanya juga semakin tersohor di pelusuk negeri.  Kedudukan yang tinggi itu menjadikan dirinya banyak didekati oleh para penguasa pada ketika itu.


     Dengan kemasyuran yang menggunung, Imam al-Ghazali sememangnya pada waktu itu sedang tenggelam dalam harta kekayaan, kedudukan dan ketenaran. Namun di hatinya mulai timbul pertentangan yang sengit sekali antara ajakan hawa nafsu duniawi dan ajakan menjauhi duniawi untuk kembali ke jalan akhirat.  Demikianlah pertentangan yang ada di dalam hati Imam al-Ghazali antara mengikuti hawa nafsu dan mengikuti panggilan kepada kehidupan akhirat itu selama enam bulan.  


     Hampir enam bulan lamanya al-Ghazali sentiasa dibingungkan antara tarikan syahwat dunia dengan tarikan akhirat , iaitu sejak awal Rejab 488H, sehingga masalahnya sampai pada batas pilihan, bahkan sampai terpaksa.  Di saat itu beliau tidak mampu lagi berbicara dan mengunyah makanan.  Keadaannya semakin parah dan badannya pun semakin lemah.  Akhirnya beliau bersandar kepada Allah swt. bagaikan orang dalam keadaan kritikal, memohon kepada-Nya agar memudahkan baginya untuk berpaling dari kehidupannya ini, maka Allah sebagai pengabul doa orang yang dalam kesempitan, mengabulkan permohonan ini.  Al-Ghazali meninggalkan kota Baghdad dan meninggalkan tugas mengajarnya di Madrasah Nidzamiyah Baghdad.  Beliau merantau di bumi  Allah dan menunaikan haji terlebih dahulu di Baitullah, kemudian berpindah-pindah mulai dari Damaskus, Yurussalem, dari kota ke kota dan kadang-kadang dari kampung ke gurun. 


      Al-Ghazali meninggalkan dunia manusia termasuk mengajar ilmu-ilmu syariat, ketika beliau melihat bahawa niatnya tidak ikhlas kepada Allah swt, tapi ianya hanyalah untuk mencari kedudukan dan pengaruh.  Beliau menyedarinya tatkala melakukan refleksi ke atas dirinya, dan analisanya yang jujur terhadap motivasi hidupnya, sehingga tidak tertipu lahirnya oleh batin dan gambarannya dari hakikat yang nyata.


            Dengan samar-samar al-Ghazali berusaha untuk keluar dari Baghdad. Beliau berpura-pura hendak pergi ke Mekkah, namun tujuan sebenarnya adalah Syam. Beliau berharap untuk mendapatkan Ma’rifat dan hatinya berhasrat kuat untuk mendapatkan Al-Fathu.  Iaitu yang dibuka kepada para wali dan orang-orang soleh yang terdahulu.  Ketika sampai di Syam beliau menetap disana selama dua tahun tanpa melakukan apapun selain ber’uzlah (mengasingkan diri) dan berkhalwat (menyepi), Ar Riyadhah wal Mujaahadah (bersungguh-sungguh dalam membersihkan jiwanya, mendidik akhlaknya, dan mensucikan hatinya dengan banyak berzikir kepada Allah Ta’ala). Sepanjang harinya beliau sentiada ber’iktikaf di menara masjid Jami’ Damaskus.  Di tempat itulah beliau mengurung dirinya.  Dari Syam beliau menuju ke Baitul Maqdis (Palestin).  Setiap hari beliau masuk ke dalam sakhrah.  Di tempat itu beliau banyak menyepi dan mengunci diri di dalamnya.  Kemudian beliau pergi ke Hijazz untuk menunaikan ibadah Haji dan menziarahi Makam Rasulullah saw.   


      Beliau meninggalkan kehidupan duniawi, kedudukan dan ketenaran yang telah memenuhi cakrawala, untuk terjun ke kehidupan zuhud dan sederhana, tekun bermujahadah.  Al-Ghazali melakukan uzlah kurang lebih 10 tahun meninggalkan manusia, termasuk dunia mereka yang penuh persaingan, bahkan sampai meninggalkan mengajar ilmu syariat, kerana dirasa niatnya kurang ikhlas untuk Allah swt.  Setelah itu, al-Ghazali yang telah memutuskan hubungannya dengan berbagai kesibukan dan keterikatan mula berfikir untuk kembali dan menyambung tugas dakwah dan gerakan untuk menghidupkan agama. 


     Al-Ghazali kemudian keluar dari uzlahnya setelah melewati kebimbangan dan pemikiran yang cukup panjang, bermusyawarah dengan para ahli pemilik mata hati dan jiwa.  Semuanya menganjurkan agar beliau meninggalkan tempat ibadatnya dan kembali untuk mengajar serta memberi manfaat kepada manusia dalam keadaan menyeru pada ilmu yang dapat menjauhkan dari kedudukan.


              
Rujukan :

Dr. Yusuf al-Qardhawi. (1988). ( Al –Imam al-Ghazali baina Madihi wa Naqidihi / Pro Kontra Pemikiran al-Ghazali  )

Dr Abdul halim Mahmud. (TTH). Hal Ihwal Tasawuf Analisa Tentang Al-Munqidz Minadhalal (Penyelamat Dari Kesesatan) Oleh al-Ghazali

Ali Muhammad Ash-Shallabi. (2015). ( Al-Imam Al-Ghazali wa jududuhu fi al- ishlah wa at-tajdid al-‘alimul kabir wal murobbi asy-Syahir Asy-Syaikh ‘Abdul Qadir Jailaniy ) 

Ali Muhammad Ash-Shallabi. (2015). ( Al-Imam Al-Ghazali wa jududuhu fi al- ishlah wa at-tajdid al-‘alimul kabir wal murobbi asy-Syahir Asy-Syaikh ‘Abdul Qadir Jailaniy )

Wednesday, 26 July 2017

Abu Hamid Al-Ghazali Siri 1



BIOGRAFI RINGKAS

Penulis kitab Ihya’ Ulumuddin yaang sangat terkenal sehingga abad ini ialah dikenali sebagai Abu Hamid Muhammad, dikenali juga sebagai al-Ghazali.  Beliau dilahirkan pada tahun 450H bersamaan 1058M, di sebuah perkampungan di Tus di wilayah Khurasan di Persia.               

      Nama lengkap al-Ghazali adalah Abu Hamid, Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Ahmad al-Ghazzali al-Tusi dan dirujuk dengan beberapa gelaran seperti Hujjat al-Islam (the proof of Islam) dan Zayn al-Din (The Ornament of Religion).  Al-Ghazali dilahirkan pada tahun 450H./1058M. di Tabaran, iaitu sebuah kota di daerah Tus yang terletak dalam negeri Khurasan.  Tabaran adalah salah satu dari dua kota utama dalam daerah Tus selain Nawqan.  Dalam dua kota ini terdapat lebih 1000 buah kampung.  Tus pula adalah sebuah daerah yang terletak di Timur Laut Empayar Parsi lama berdekatan dengan Meshhed di Khurasan. Daerah ini adalah sebuah bandar yang agak luas, terbina kemas, dan berpenduduk padat.  Ia terkenal kerana adanya air yang mengalir, pokok-pokok dan endapan logam yang terletak di kawasan banjaran pergunungan.  Selain itu, ia juga terkenal kerana daerah ini menjadi tempat kelahiran beberapa orang tokoh terkenal seperti Abu Ali al-Hasan ibn Ishaq yang lebih terkenal dengan gelaran Nizam al-Mulk.  Ia adalah salah satu daripada dua bandar termasyhur di Khurasan selain Naysabur.               

      Sesetengah penulis mencatatkan nama beliau sebagai al-Ghazzali (double z) yang dikaitkan dengan pekerjaan bapanya sebagai pemintal benang bulu.  Manakala ramai pula yang menyebutnya al-Ghazali (satu z) sempena nama kampung kelahirannya iaitu Ghazalah.  Beliau sering dirujuk dengan beberapa gelaran seperti Hujjah al-Islam (The Proof of Islam), Zayn al-Din (The Ornament of Religion) dan al-Nasyaburi

      Al-Ghazali adalah tokoh pemikir Islam dan sekaligus tokoh pemikir kemanusiaan secara umum.  Beliau juga salah seorang yang berotak cemerlang yang memiliki berbagai keunggulan dan jasa dalam pelbagai aspek.  Salah seorang yang menjadi ensiklopedia di zamannya yang menguasai seluruh ilmu syariat kecuali ilmu hadis yang diakuinya sebagai ilmu yang tidak dikuasainya secara mendalam.  Ilmu pengetahuan yang dikuasainya mencakupi Fiqh, Usul, Ilmu Kalam, Mantiq, Filsafat, Tasawuf, Akhlak dan sebagainya.  Al-Ghazali juga telah banyak menyusun buku tentang semua bidang tersebut.

     Al-Ghazali berasal daripada keluarga yang berkedudukan sederhana dalam masyarakat yang menenkankan aspek penghayatan ajaran Islam dalam melayari bahtera kehidupan mereka. Ayahnya bekerja sebagai penenun bulu binatang untuk dibuat pakaian yang kemudiannya dijual di kedai-kedai di kota Tus, Khurasan.  Dia merupakan seorang lelaki yang soleh, ahli tasawuf yang tidak makan melainkan daripada hasil kerja sendiri yang diusahakannya.  Ini kerana dia sentiasa takut akan balasan buruk daripada Allah s.w.t.

     Al-Ghazali menjalani kehidupan berkeluarga sebagaimana juga orang lain, namun tidak banyak catatan sejarawan yang menceritakan tentang urusan kehidupan kekeluargaannya.  Apa yang dapat diketahui berhubung dengannya ialah beliau telah berkahwin sebelum umurnya mencecah 20 tahun dan dikurniakan empat orang anak, tiga perempuan dan seorang lelaki. Gelaran “Abu Hamid” yang terdapat di pangkal namanya adalah sempena nama anak lelaki tuggalnya, “Hamid” yang telah meninggal dunia ketika masih kecil.



PENDIDIKAN AL-GHAZALI

Berdasarkan sumber-sumber sejarah, ayah al-Ghazali mewasiatkan kedua-dua orang anaknya itu iaitu Ahmad dan Muhammad kepada seorang sufi.  Pada masa sakitnya beliau berpesan kepada seorang sufi supaya diasuh dan dididik dengan menggunakan harta peninggalannya sebagai bekal untuk kedua-dua orang anaknya itu.

    Semasa kecil al-Ghazali telah belajar di kampungnya sendiri iaitu di Tus dengan seorang guru bernama Ahmad bin Muhammad Abu Hamid al-Razkani.  Aspek pelajaran yang diikuti di peringkat ini adalah sama dengan anak-anak yang sebaya dengannya.  Kurikulum menekankan aspek menghafal al-Quran, mempelajari asas-asas membaca dan menulis diikuti oleh pelajaran tatabahasa Arab dan nahu, matematik, fikah dan lain-lain.  Ayah beliau seorang yang mencintai ilmu.  Malangnya keadaan hidup tidak mengizinkan beliau untuk mempelajari ilmu lalu beliau hanya menggantungkan harapan agar kedua-dua anaknya mendapat peluang untuk belajar dan menjadi seorang alim.  Ayah beliau telah meninggal dunia dalam usia yang masih muda dan meninggalkan kedua-dua anaknya al-Ghazali dan adiknya di bawah jagaan seorang sahabat ayahnya.  Dengan harta peninggalan ayahnya yang sedikit itu, kedua-dua orang adik-beradik ini telah mendapat peluang untuk menerima pelajaran asas secara tradisional.

     Oleh sebab kehabisan wang, kedua-dua beradik itu telah dinasihatkan supaya menyambung pelajaran ke salah sebuah sekolah yang ada pada ketika itu.  Kedua-duanya diberi pelajaran serta perbelanjaan sara hidup secara percuma. Semasa di Jurjan al-Ghazali telah berguru dengan Syaikh Ismail bin Saadah al-Ismail (meninggal dunia pada 487H bersamaan 1084M).  Beliau telah membuat catatan apa yang dipelajari berhubung dengan fikah mazhab Syafi’i daripada guru tanpa menghafal.  Tempoh pengajiannya di sana selama lima tahun.  Pada than 470H beliau pulang ke kampungnya di sana selama lima tahun.   Pada tahun 470H beliau pulang ke kampungnya dan tinggal di sana selama tiga tahun.  Setelah beliau mengalami satu peristiwa di mana segala bekalan dan buku-buku telah dirampas oleh perompak-perompak semasa beliau dalam perjalanan pulang ke rumah telah mengubah ciri pembelajaran daripada bentuk membuat catatan kepada hafalan yang mana beliau telah menghafal buku-buku catatan keseluruhannya.

     Dengan tindakan dan perubahan yang dibuat telah menjadikan beliau pakar dalam pelbagai bidang ilmu yang diikuti sehingga para pengkaji telah menyifatkan beliau sebagai ensiklopedia zaman itu.  Dari sudut lain pula, perubahan yang dibuat itu menunjukkan beliau adalah seorang yang benar-benar peka dengan apa yang dialami serta mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan diri daripada menghadapi keadaan yang boleh merosakkan dirinya.  Kepekaan itu kelihatan sama dalam konteks tindakan dan sumbangannya menyelamatkan masyarakat.

     Setelah menamatkan pelajaran fikah di Tus dan Jurjan, al-Ghazali berpindah ke Naisabur yang terletak 49 batu ke barat daerah Tus.  Ketika itu umur beliau 23 tahun iaitu pada tahun 437H. Di sini beliau berguru dengan Imam al-Haramain al-Juwaini dalam pelbagai ilmu pengetahuan seperti ilmu mantik, ilmu falsafah dan fikah mazhab Syafi’i.  Al-Ghazali adalah seorang murid Imam al Juwaini yang paling pintar dan kuat berusaha serta suka menyelidik dan mengkaji sehingga guru itu menyifatkan beliau sebagai “lautan yang melimpah”.  Dengan Imam besar ini al-Ghazali mendalami ilmu fikah lebih mendalam lagi.  



RUJUKAN :
Abdul Salam Yussof. (2005). ‘ Pujian dan Kritikan Terhadap Imam Al-Ghazali ’           
Ali Muhammad Ash-Shallabi. (2015). ( Al-Imam Al-Ghazali wa jududuhu fi al- ishlah wa at-tajdid al-‘alimul kabir wal murobbi asy-Syahir Asy-Syaikh ‘Abdul Qadir Jailaniy ) 
Mohd Farid Al-Rifai. (1936). Al-Ghazali. Kahirah : Cetakan Esai Halab

Mohd Fauzi bin Hamat. (2005). Ketokohan Al-Ghazzali Dalam Bidang Logik

Dr. Yusuf al-Qardhawi. (1988). ( Al –Imam al-Ghazali baina Madihi wa Naqidihi / Pro Kontra Pemikiran al-Ghazali  )