Abu Hamid Al-Ghazali Siri 1
BIOGRAFI RINGKAS
Penulis kitab Ihya’ Ulumuddin yaang sangat terkenal sehingga abad ini ialah dikenali
sebagai Abu Hamid Muhammad,
dikenali juga sebagai al-Ghazali. Beliau dilahirkan pada tahun 450H bersamaan
1058M, di sebuah perkampungan di Tus di wilayah Khurasan di Persia.
Nama
lengkap al-Ghazali adalah Abu Hamid, Muhammad ibn
Muhammad ibn Muhammad ibn Ahmad al-Ghazzali al-Tusi dan dirujuk dengan
beberapa gelaran seperti Hujjat al-Islam (the proof of Islam) dan Zayn
al-Din (The Ornament of
Religion). Al-Ghazali dilahirkan pada
tahun 450H./1058M. di Tabaran, iaitu sebuah kota di daerah Tus yang terletak
dalam negeri Khurasan. Tabaran adalah
salah satu dari dua kota utama dalam daerah Tus selain Nawqan. Dalam dua kota ini terdapat lebih 1000 buah
kampung. Tus pula adalah sebuah daerah
yang terletak di Timur Laut Empayar Parsi lama berdekatan dengan Meshhed di
Khurasan. Daerah ini adalah sebuah bandar yang agak luas, terbina kemas, dan
berpenduduk padat. Ia terkenal kerana
adanya air yang mengalir, pokok-pokok dan endapan logam yang terletak di
kawasan banjaran pergunungan. Selain
itu, ia juga terkenal kerana daerah ini menjadi tempat kelahiran beberapa orang
tokoh terkenal seperti Abu Ali al-Hasan ibn Ishaq yang lebih terkenal dengan
gelaran Nizam al-Mulk. Ia adalah salah
satu daripada dua bandar termasyhur di Khurasan selain Naysabur.
Sesetengah
penulis mencatatkan nama beliau sebagai al-Ghazzali (double z)
yang dikaitkan dengan pekerjaan bapanya sebagai pemintal benang bulu. Manakala ramai pula yang menyebutnya al-Ghazali (satu z) sempena
nama kampung kelahirannya iaitu Ghazalah.
Beliau sering dirujuk dengan beberapa gelaran seperti Hujjah al-Islam
(The Proof of Islam), Zayn al-Din (The Ornament of
Religion) dan al-Nasyaburi
Al-Ghazali adalah tokoh pemikir
Islam dan sekaligus tokoh pemikir kemanusiaan secara umum. Beliau juga salah seorang yang berotak
cemerlang yang memiliki berbagai keunggulan dan jasa dalam pelbagai aspek. Salah seorang yang menjadi ensiklopedia di zamannya
yang menguasai seluruh ilmu syariat kecuali ilmu hadis yang diakuinya sebagai
ilmu yang tidak dikuasainya secara mendalam.
Ilmu pengetahuan yang dikuasainya mencakupi Fiqh, Usul, Ilmu Kalam,
Mantiq, Filsafat, Tasawuf, Akhlak dan sebagainya. Al-Ghazali juga telah banyak menyusun buku tentang semua
bidang tersebut.
Al-Ghazali berasal daripada keluarga yang berkedudukan
sederhana dalam masyarakat yang menenkankan aspek penghayatan ajaran Islam
dalam melayari bahtera kehidupan mereka. Ayahnya bekerja sebagai penenun bulu
binatang untuk dibuat pakaian yang kemudiannya dijual di kedai-kedai di kota
Tus, Khurasan. Dia merupakan seorang
lelaki yang soleh, ahli tasawuf yang tidak makan melainkan daripada hasil kerja
sendiri yang diusahakannya. Ini kerana
dia sentiasa takut akan balasan buruk daripada Allah s.w.t.
Al-Ghazali menjalani kehidupan
berkeluarga sebagaimana juga orang lain, namun tidak banyak catatan sejarawan
yang menceritakan tentang urusan kehidupan kekeluargaannya. Apa yang dapat diketahui berhubung dengannya
ialah beliau telah berkahwin sebelum umurnya mencecah 20 tahun dan dikurniakan
empat orang anak, tiga perempuan dan seorang lelaki. Gelaran “Abu Hamid” yang terdapat di
pangkal namanya adalah sempena nama anak lelaki tuggalnya, “Hamid” yang telah
meninggal dunia ketika masih kecil.
PENDIDIKAN AL-GHAZALI
Berdasarkan sumber-sumber sejarah, ayah al-Ghazali
mewasiatkan kedua-dua orang anaknya itu iaitu Ahmad dan Muhammad kepada seorang
sufi. Pada masa sakitnya beliau berpesan
kepada seorang sufi supaya diasuh dan dididik dengan menggunakan harta
peninggalannya sebagai bekal untuk kedua-dua orang anaknya itu.
Semasa kecil al-Ghazali telah belajar di
kampungnya sendiri iaitu di Tus dengan seorang guru bernama Ahmad bin Muhammad
Abu Hamid al-Razkani. Aspek pelajaran yang diikuti di peringkat ini
adalah sama dengan anak-anak yang sebaya dengannya. Kurikulum menekankan aspek menghafal
al-Quran, mempelajari asas-asas membaca dan menulis diikuti oleh pelajaran
tatabahasa Arab dan nahu, matematik, fikah dan lain-lain. Ayah beliau seorang yang mencintai ilmu. Malangnya keadaan hidup tidak mengizinkan
beliau untuk mempelajari ilmu lalu beliau hanya menggantungkan harapan agar
kedua-dua anaknya mendapat peluang untuk belajar dan menjadi seorang alim. Ayah beliau telah meninggal dunia dalam usia
yang masih muda dan meninggalkan kedua-dua anaknya al-Ghazali dan adiknya di bawah
jagaan seorang sahabat ayahnya. Dengan
harta peninggalan ayahnya yang sedikit itu, kedua-dua orang adik-beradik ini
telah mendapat peluang untuk menerima pelajaran asas secara tradisional.
Oleh sebab kehabisan wang, kedua-dua beradik itu telah
dinasihatkan supaya menyambung pelajaran ke salah sebuah sekolah yang ada pada
ketika itu. Kedua-duanya diberi
pelajaran serta perbelanjaan sara hidup secara percuma. Semasa di Jurjan al-Ghazali telah berguru dengan
Syaikh Ismail bin Saadah al-Ismail (meninggal dunia pada 487H bersamaan
1084M). Beliau telah membuat catatan apa
yang dipelajari berhubung dengan fikah mazhab Syafi’i daripada guru tanpa
menghafal. Tempoh pengajiannya di sana
selama lima tahun. Pada than 470H beliau
pulang ke kampungnya di sana selama lima tahun. Pada tahun 470H beliau pulang ke kampungnya
dan tinggal di sana selama tiga tahun.
Setelah beliau mengalami satu peristiwa di mana segala bekalan dan
buku-buku telah dirampas oleh perompak-perompak semasa beliau dalam perjalanan
pulang ke rumah telah mengubah ciri pembelajaran daripada bentuk membuat
catatan kepada hafalan yang mana beliau telah menghafal buku-buku catatan
keseluruhannya.
Dengan tindakan dan perubahan yang dibuat telah
menjadikan beliau pakar dalam pelbagai bidang ilmu yang diikuti sehingga para
pengkaji telah menyifatkan beliau sebagai ensiklopedia zaman itu. Dari sudut lain pula, perubahan yang dibuat
itu menunjukkan beliau adalah seorang yang benar-benar peka dengan apa yang
dialami serta mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan diri daripada
menghadapi keadaan yang boleh merosakkan dirinya. Kepekaan itu kelihatan sama dalam konteks
tindakan dan sumbangannya menyelamatkan masyarakat.
Setelah menamatkan pelajaran fikah di Tus dan
Jurjan, al-Ghazali
berpindah ke Naisabur yang terletak 49 batu ke barat daerah Tus. Ketika itu umur beliau 23 tahun iaitu pada
tahun 437H. Di sini beliau berguru dengan Imam al-Haramain al-Juwaini dalam
pelbagai ilmu pengetahuan seperti ilmu mantik, ilmu falsafah dan fikah mazhab
Syafi’i. Al-Ghazali
adalah seorang murid Imam al Juwaini yang paling pintar dan kuat berusaha serta
suka menyelidik dan mengkaji sehingga guru itu menyifatkan beliau sebagai
“lautan yang melimpah”. Dengan Imam
besar ini al-Ghazali
mendalami ilmu fikah lebih mendalam lagi.
RUJUKAN :
Abdul Salam Yussof. (2005). ‘ Pujian dan Kritikan Terhadap Imam
Al-Ghazali ’
Ali Muhammad Ash-Shallabi. (2015). ( Al-Imam Al-Ghazali wa jududuhu fi al- ishlah wa at-tajdid al-‘alimul
kabir wal murobbi asy-Syahir Asy-Syaikh ‘Abdul Qadir Jailaniy )
Mohd Farid Al-Rifai. (1936). Al-Ghazali. Kahirah : Cetakan Esai Halab
Mohd Fauzi bin Hamat. (2005). Ketokohan Al-Ghazzali Dalam Bidang Logik.
Dr. Yusuf al-Qardhawi. (1988). ( Al –Imam al-Ghazali baina Madihi wa Naqidihi / Pro Kontra Pemikiran al-Ghazali )
Mohd Fauzi bin Hamat. (2005). Ketokohan Al-Ghazzali Dalam Bidang Logik.
Dr. Yusuf al-Qardhawi. (1988). ( Al –Imam al-Ghazali baina Madihi wa Naqidihi / Pro Kontra Pemikiran al-Ghazali )
Comments
Post a Comment