Malam Berbintang Terang..


Di tengah malam yang cerah disuluhi cahaya rembulan, kelihatan pada malam itu langit seakan-akan ceria dan gembira dipenuhi hiasan. Aku merenung pada sekumpulan bintang yang sungguh menawan. Ah.. gemerlapannya mengujakan dan mengasyikkan. Pada layar alam itu sesekali kelihatan setelit yang memancar terang, tak kurang juga kapal terbang tinggi membelah awan. Betapa Allah Taala Maha Kaya dengan pemberian. Di sebalik siang hari yang suram, Allah menghiasi pula alam ini dengan malam yang kelam tetapi menenangkan. Begitulah Tuhan membawa kita menghayati kehidupan. Cuma kadang-kadang kita sahaja yang malas merenung dan mencari kebenaran. Cuma yang kita tahu, mencari kesalahan dan membiarkan hati penuh kealpaan.  


     Aku merenung sekumpulan bintang-bintang yang membentuk buruj Orion atau nama lainnya juga disebut sebagai Belantik atau al-Babadur. Iya, buruj yang sangat popular di kalangan golongan pelayar yang membelah lautan dalam. Uniknya buruj ini, ianya dibarisi oleh tiga bintang berderet iaitu bintang Mintaka, al-Nilam dan an-Nitak selain dikelilingi lagi oleh beberapa bintang cerah dan terang. Popularnya buruj ini kerana ia seringkali membantu memberi petunjuk arah kiblat dan kewujudannya sangatlah dihargai bagi mereka yang menggunakannya. Bagi mereka yang tersesat di lautan, sudah tentulah layar alam yang terbentang luas di langit malam menjadi 'waze' screen gergasi yang boleh menyampaikan pelayar ke destinasi yang ditujunya.


     Maha Penyayangnya Allah Taala, tidak langsung membiarkan hambanya terus dalam kegelapan dan kesesatan. Begitulah jua kehidupan kita ini, biarpun kita bukan seorang pelayar di tengah lautan, tetapi sebenarnya kita adalah pelayar di atas daratan. Sungguh, Allah taala tidak akan membiarkan kita hidup tanpa pentunjukNya. Hanya yang malas belajar mencari petunjuk, hanya kita. Allah taala selalu sedia untuk memberi, tetapi seringkali yang sombong meminta adalah kita. PetunjukNya yang paling besar adalah al-Quran, di dalamnya terkandung segala petunjuk yang kita perlukan. tetapi sekali lagi, hanya dengan penyakit kemalasan, kita sering kali gagal menerima dan memahami petunjuk yang telahpun terbentang. Maka di atas satu alasan, iaitu kemalasan, kita sering menyalahkan Tuhan!


     Langit itu terus menjadi layar malamku, lama sudah kiranya aku berkelana mencari identiti sendiri di tempat orang. Di atas pilihanku dan kehendak Tuhan, ketika aku berjalan di landasan keilmuan, aku dipertemukan Tuhan kepada seorang hambaNya yang sangat rajin dan selalu memandang ke hadapan. Kadang-kadang aku kagum dengan caranya memandu pemikirann. Jika bersembang pasti mengenai konsep ilmu dan perjuangan. Sikapnya yang rajin membaca dan sangat ringan tulang membantu kerja-kerja kebajikan di rantau orang sememangnya membuatkan semua orang terhibur senang.


     Lalu suatu hari aku diberi izin oleh Tuhan untuk menyoroti sisi lain kehidupannya. Kehidupan yang pahit untuk ditelan tapi perlu juga dikemam. Di sepanjang perkenalan yang berbulan-bulan aku mengenalinya dengan seorang yang keras semangatnya, tidak terhitung kesungguhannya dalam menuntut ilmu agama, tidak pernah malas dalam menyumbang tenaga baktinya. Tapi suatu hari, dinding semangatnya roboh, terpancar wajahnya yang galau dan suram, jiwanya merusuh dengan kesenyapan. Aku merenungnya perlahan, mengambil nafas dalam sambil mencari jalan meneroka jiwa yang berselirat dengan kekecewaan.   


     "Saya gagal.." setelah lama membatukan dirinya dengan tiba-tiba dua patah kata itu itu keluar darinya dengan lambat dan perlahan sahaja. Nafasku terhenti seketika, anak mataku sekali lagi tepat menusuk ke anak matanya. Sel-sel otakku sangat bekerja keras ketika itu bagi merungkaikan apakah maknanya. Apa yang gagal sebenarnya?. Tanpa banyak meneka, aku segera meneroka dirinya dengan soalan-soalan memujuk yang terbuka. Akhirnya segala yang berselirat dapat kujumpa mana pucuk mana pangkalnya, apa punca yang menyebabkan begini jadinya. Rupa-rupanya dia gagal dalam akademiknya. Tak kurang dari itu dia juga gagal dalam prestasi pelajaran agamanya. Bukan sekali, tapi berkali-kali!


     Iya benar. Siapa yang tidak kecewa jika rajinnya itu tidak membuahkan makna. Kesungguhannya pula bagai bayang-bayang sahaja. Membaca tapi tidak berjaya. Belajar tapi tidak masuk-masuk juga. Berhabis wang harta tetapi juga tidak ke mana. Hati mana yang tidak sendu jadinya, ketika harapan mencanak naik ke bulan, akhirnya jatuh ditimpa awan. Maka ketika itulah, dia hilang warasnya dan bertubi-tubi membandingkan aku dengan dirinya. Seakan-akan maksudnya Tuhan tidak adil dalam mencipta. Tuhan banyak memberikanku kemudahan dalam pelajaran, sedangkan dia pula terus menerus terpaksa berhempas pulas bagi memahami dan mendapatkan segalanya. Tetapi segala-galanya tidak memihak dirinya. Aku membiarkan dia tenang melontarkan rasa kecewanya. Kali ini, aku pula yang terdiam seribu bahasa. Melihat raut wajahnya yang sungguh kecewa bagai dunia ini sudah tidak ada maknanya. Di akhirnya, dia menyerah dan pasrah dengan segalanya seakan-akan tidak mahu terus lagi memanjat, mendaki tangga sebuah gunung kejayaan. Akhirnya aku membiarkan dia pergi membawa dirinya dengan penuh pengharapan mudah-mudahan segala luahan isi hatinya dapat mengembalikan semula siapa dirinya. 


     Malam semakin kelam, terang rembulan semakin memancar terang, aku terus menerus membilang bintang dan menyelak jendela kehidupan, "Kalau lah Rasulullah ada, apalah agaknya baginda akan memberi pesan kepada sahabat tadi ya?"..soalku kepada bintang di langit terang... 


     Di kala itu, aku teringat sebuah lagi cerita dahulu kala. Ketika itu di sebuah madrasah, terdapat seorang pelajar yatim piatu yang sangat terkenal kerajinannya dalam belajar. Namun, sayangnya beliau seringkali ditinggal jauh oleh sahabat-sahabat seperjuangannya. Tidak sudah dari itu, setiap apa yang dipelajari olehnya dari guru-gurunya sering sahaja beliau terlupa dan gagal mengingatinya. Rentetan dari itu, pelajar tersebut merasa sangat putus asa dan hilang motivasi belajarnya. Lalu beliau meminta izin dari gurunya untuk keluar dari madrasahnya. Dengan jiwanya yang galau dan sedih ketika dalam perjalanan pulang ke rumah , tiba-tiba hujan lebat turun membasahi bumi menyebabkan beliau terpaksa menumpang teduh di dalam sebuah gua. 


     Ketika menumpang teduh di dalam gua tersebut, beliau terlihat terdapat titisan hujan yang jatuh ke atas sebuah batu dan menyebabkan lekukan pada batu tersebut akibat dari titisan hujan itu. lalu beliau pun berfikir dan barulah beliau menyedari bahawa kalaulah batu yang keras itu boleh terkesan dengan titisan air yang lembut secara terus menerus, apatah lagi kepalanya yang tidaklah sekeras batu itu!. Lalu dengan semangatnya yang berkobar-kobar, beliau kembali ke madrasahnya dan menemui gurunya. Setelah gurunya mendengar cerita yang baru dialami oleh pelajarnya, dan melihat kesungguhan pelajarnya, maka beliaupun diterima kembali untuk belajar di sana. 


     Bermula dari situlah, dengan kesungguhannya beliau mampu menyaingi sahabat-sahabatnya dan menjadi antara murid yang paling cerdas dalam pelajarannya. Dan sehinggalah beliau menjadi Ulama besar yang tersohor di saentero alam ini sehinggalah ke saat ini. Beliaulah yang kita kenal iaitu Ulama besar Ibnu Hajar al-Asqalani atau nama sebenarnya  Ahmad bin Ali bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Mahmud bin Ahmad bin Hajar Al-Kannani Al-Qabilah yang berasal dari Al-Asqalan. Terlalu banyak sumbangan beliau dalam dunia penulisan dan dakwah islamiah. Beliau juga adalah seorang muhaddith di zamannya selain memiliki beberapa kepakaran atau sarjana di bidang lain seperti fiqh, mantiq, falsafah, kesusateraan, kaligrafi dan lain-lain. 


     Begitulah serba ringkas cerita teladan dari ulama silam. Atas izin Tuhan, kisahnya menjadi suri tauladan kepada kita semua sehinggalah ke hari ini. Sesungguhnya, setiap penyakit ada penawarnya, setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Dan setiap dugaan dari Tuhan mesti ada penyelesainnya dari Tuhan juga. Cuma hanya kita yang kurang meminta, kurang berusaha, kurang bermuhasabah dan kurang menggali hikmah dan kurang tawakkalnya. Marilah kita sama-sama berusaha menggali setiap ibrah dari perjalanan kehidupan kita kerana setiap langkah kita senantiasa Allah ada untuk mentarbiyyah kita. 


    Bagi mendapatkan mutiara di dasar lautan sana, terlebih dahulu kita perlu menaiki kapalnya. Sesudahnya perlu pula melalui lambungan dan hempasan ombak di lautan sebelum boleh terjun menyelam ke dasarnya seterusnya perlu pula mencari mutiara yang berselindung di dalam cengkerang!. 


    Mudah-mudahan Allah taala mengurniakan kepada kita ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima. Amiin Ya Rabb.. 




Rujukan :
https://ejournal.um.edu.my/index.php/JUD/article/view/3233/1302

Comments