Rasa Bahasa..




Hari demi hari, usia kita semakin banyak bilangannya. Makin usia meningkat dewasa pelbagai suasana yang perlu sama dirasa, pelbagai mehnah yang perlu ditempa dan pelbagai dugaan yang perlu kita lalui setabahnya. Dalam kita berkelana, kita akan bertemu dengan pelbagai jenis bahasa manusia. lebih mudah kita katakan, bahawa bahasa yang sama tapi beza rasanya. 


  Wahai teman, bebas berbahasa bukanlah bermakna kita bebas memuntahkan segala kata, menzahirkan berguni rasa dan melontarkan segala emosi yang meluap di dalam dada, asalkan kita puas, maka selesailah segalanya. Teman, hidup ini bukan hanya kita sahaja yang mempunyai hati dan rasa. Setiap manusia yang kita jumpa semuanya mempunyai hati, jiwa, perasaan yang sama seperti  yang kita ada. Tidak rugi kita berhikmah dalam menyusun kata.


   Teman, meja diskusi bukanlah tempat untuk kita memberi arahan dan bersikap panas kepala. Kerana sikap begini selalunya tidak akan meraikan pendapat yang berbeza darinya. Meja ini juga bukanlah tempat untuk kita meninggikan ego kita, kerana keegoan hanya akan membuka pintu kepada kita untuk memandang rendah dan memperlekehkan pandangan ahlinya. Hargailah pandangan orang lain agar pandangan kita juga dihargai seisi ahlinya.


     Wahai teman, kita ini berdarah muda, masih bersemangat dan bergelora. Selalu sahaja kita tergopoh gapah dalam menentukan sesuatu perkara. Marilah kita raikan pandangan semua. Memohon pandangan dari yang lebih alim serta tidak meminggirkan mereka yang lebih tua. Kerana sebahagian mereka lebih tahu berbanding kita dan sebahagian mereka juga tidak akan memberi melainkan apabila diminta. Sebagaimana mutiara di dasar laut yang tidak akan dijumpa melainkan kita perlu dahulu menyelam dan membuka kerangnya. 


    Wahai teman, hidup ini ada pasang surutnya, ada turun ada naiknya, setiap kali kita membuka meja, maka diskusi pun bermula. Saat itu ada usul yang diterima, ada juga yang perlu ditolaknya. Justeru, janganlah kita berdukacita lalu merajuk ke hujung jendela apabila cadangan kita ditolak seisi meja. Apatah lagi janganlah kiranya kita merajuk dan mengangkat kaki serta keluar dari majlis gara-gara merasakan kita layak segalanya. Sebaliknya bersyukurlah kerana kita tidak akan menangung dosa di atas usul atau cadangan, seandainya ianya membuahkan keburukan yang tidak semena. Malahan, beristighfarlah jika cadangan kita itu diterima, kerana belum tentu ianya menjadi kebaikan apabila dilaksana. Tetapi seandaianya cadangan kita itu diterima dan ianya menjadi kebaikan, maka janganlah kita terlalu bangga kerana kita tidak pernah mengetahui apakah Allah taala menerima atau sebaliknya. 


      Ayuh teman, sama-sama kita berhikmah dalam setiap tutur bicara dan santun dalam tingkahnya.  Mudah-mudahan hari esok lebih baik dari yang sebelumnya. ^^

Comments